Thursday, June 21, 2012

KESAN MINUMAN 3 DALAM 1

Assalamualaikum.

Ada tak sesiapa kat sini yang gemar minum minuman segera 3 dalam 1? Contohnya seperti gambar di bawah. Sedapkan? 

 Gambar: Sumber dari Google.

Dari pengalaman Makcik, minuman jenis ini memang sedap, cepat dan senang disediakan. Sebenarnya sudah lama Makcik mengamalkan minum minuman jenis 3 dalam 1 ni, contohnya seperti Nescafe 3 dalam 1 yang berwarna merah, kuning dan hijau tu. Antara lain adalah tongkat ali 3 dalam 1, coffee mix, kopiko mix 3 dalam 1, brown coffee 3 dalam 1, dan macam-macam lagi yang Makcik sudah lupa apa namanya. 

Dulu, masa Makcik masih belajar, Makcik memang mengambil minuman jenis ini, maklumlah hidup bujang, semua nak mudah dan cepat. Masa tu, Makcik tak sedar, kenapa Makcik mengalami simptom-simptom seperti sentiasa berdebar, perut berkeroncong walaupun sudah terisi, tangan terketar-ketar, resah tak menentu dan bermacam-macam lagi perasaan tidak selesa yang Makcik alami. 

Setelah sekian lama, Makcik baru tersedar tentang perkara ini bila Makcik sudah berkahwin. Ini berlaku bila Makcik mengadu tentang perasaan tidak selesa Makcik kepada suami Makcik. Suami Makcik membaca maklumat yang terdapat di dalam Internet dan menyarankan agar Makcik cuba berhenti mengambil minuman 3 dalm 1 ini buat sementara waktu untuk menguji sejauh mana kebenaran maklumat yang dibacanya. 

Terbukti, setelah 2 hingga 3 hari Makcik berhenti dari meminum minuman tersebut, rasa tidak selesa itu hilang. Selepas itu Makcik minum kembali minuman 3 dalam 1 dan ternyata rasa  berdebar dan tidak selesa itu datang kembali. Makcik juga turut mengujinya dengan Nescafe, kopi dan sunquick. Nyata ada rasa yang sama iaitu perasaan berdebar, pedih perut, gementar dan bermacam rasa yang tidak selesa terjadi. 

Mungkin ianya berbeza bagi setiap individu, tetapi dengan mengamalkan minuman jenis ini lebih membawa mudarat dari kebaikan, Makcik harap anda cubalah untuk menghentikan pengambilan minuman jenis ini dan jika tidak boleh pun, cubalah kurangkan pengambilannya. Carilah maklumat mengenai kesihatan diri anda dan juga kesan-kesan minuman 3 dalam 1 ke atas tubuh badan manusia, InsyaAllah, anda akan mendapat manfaat darinya. Jika anda tidak percaya dengan maklumat yang terdapat di dalam Internet, cubalah untuk mengujinya ke atas diri anda sendiri, anda akan rasainya sendiri, InsyaAllah. 

Kalau anda kaji, minuman jenis ini juga membawa mudarat kepada tubuh badan kita kerana ianya mengandungi gula yang berlebihan, krimer yang tidak sihat (Krimer ini bukan diperbuat dari susu tetapi dibuat dari kelapa sawit...non dairy creamer) yang boleh merosakkan jantung dan buah pinggang kita. Cegahlah sebelum terlambat kerana mencegah lebih baik dari merawat. Anda nilailah sendiri samada minuman atau produk seperti ini memberi kesan yang baik atau kesan buruk kepada diri anda. 

Di sini, Makcik selitkan sedikit maklumat yang dikeluarkan oleh akhbar untuk tatapan anda:

26 Julai 2010

Pengambilan minuman 3 dalam 1 perlu dikawal

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Penggunaan produk minuman '3-in-1' yang kini menjadi pilihan kebanyakan masyarakat perlu dikawal pengambilannya kerana ia boleh memudaratkan kesihatan jika diambil secara berlebihan.

Pensyarah Jabatan Pemakanan dan Dietetik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Roslee Rajikan berkata pengguna perlu bijak membuat pilihan dengan melihat label nutrien atau zat makanan pada produk berkenaan.

"Jika ambil produk ini sekali sekala tanpa berlebihan saya rasa tidak timbul masalah. Tetapi jika sehari lima hingga enam kali, mungkin boleh timbul masalah," katanya semasa ditemubual Zulkifli Bujang dalam program Kerusi Panas di Radio 24.

Dr Roslee berkata pengguna tidak boleh mengawal pengambilan gula dengan pengambilan minuman 3-in-1, berbanding jika menyediakan sendiri minuman.

Menurut kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), rakyat negara ini mengambil secara purata 26 sudu teh gula setiap hari, iaitu tiga kali ganda lebih tinggi daripada saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Dr Roslee berkata untuk mendidik masyarakat mengurangkan pengambilan gula bukan satu perkara mudah meskipun pelbagai kempen diadakan untuk menyedarkan masyarakat.

"Tetapi ramai juga orang yang telah mempunyai kesedaran telah beralih kepada corak pengambilan yang lebih baik. Dulu tidak pernah dengar teh tarik kurang manis dan teh O kurang manis. Tetapi sekarang sudah jadi perkara biasa," katanya.

Dr Roslee berkata meskipun kerajaan menambah bekalan gula sebanyak 15 peratus daripada biasa sebagai persediaan menyambut perayaan, orang ramai perlu bijak mengawal penggunaannya.

Beliau juga menasihatkan individu yang mempunyai ibu bapa atau keluarga yang menghidap diabetis supaya mengawal pengambilan gula dan mengamalkan pemakanan sihat bagi mengurangkan risiko menghidap penyakit yang sama.

"Memang ada sedikit pengaruh genetik kepada perkembangan penyakit ini. Tetapi kita tidak boleh menyalahkan ibu bapa (yang menghidap diabetis) sedangkan kita mempunyai keupayaan untuk mengubah cara hidup terutama pengambilan makanan yang sihat serta bersenam," katanya.

Sumber : BERNAMA

2 comments:

  1. Iron & Spade | Titanium Geometric Properties & Structure
    ‎Iron and Spade | titanium shift knob · ‎Titanium Stones · ‎Titanium Geometry snow peak titanium Properties & Structure titanium meaning · ‎Titanium Stones, Spade, Spade, titanium vs steel ‎Titanium Stones, Spade Pads, titanium shift knob ‎Titanium Stones, Spade Pads

    ReplyDelete